KESEDIAAN pemain memikul tanggungjawab berat dan memahami taktikal yang bakal diterapkan pengendali pasukan, Kim Pan-gon bakal menjadi elemen utama kepada perjuangan Harimau Malaya untuk berdepan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad malam esok.
Ini kerana kekalahan 0-4 kepada Jordan sebelum ini merungkai isu utama pasukan negara apabila para pemain seakan-akan belum cukup masak dengan apa yang dimahukan jurulatih.
“Ada satu lagi faktor yang perlu kita ingat, kita sudah layak ke Piala Asia, tetapi mungkin kita belum ada ‘mood’ dan saya rasa persahabatan dengan Syria tidak boleh dijadikan ukuran sebenar. Walaupun kita seri perlawanan itu, ia tidak boleh dianggap kompetitif.
“Hakikatnya perlawanan itu dilangsungkan terlalu hampir dengan pertandingan, jadi mungkin ada pemain Syria juga ambil pendekatan ‘jaga kaki’. Kita sekarang harimau cedera yang akan bermain perlawanan hidup mati, begitu juga dengan Bahrain.
“Perlawanan pasti sukar dan sekarang pemain patut turun tanpa terlalu memikirkan soal layak atau tidak,” kata pemerhati sukan tanah air, Dr. Pekan Ramli.
Malaysia ketika ini berada di tangga tercorot Kumpulan E dan Pekan merasakan selain mencatur strategi lebih baik, cabaran utama Pan-gon sekarang adalah untuk melapangkan minda pemain bagi mengelak bermain dalam tekanan hingga gagal melaksanakan taktikal.
Walaupun implikasinya corak permainan negara sebelum ini sudah dikaji pasukan lawan, Pekan tetap berharap Pan-gon boleh mengembalikan taktikal sama seperti kebiasaan.
“Pan-gon berani tampilkan formasi seperti itu dan mungkin pemain kita tidak ada kemahiran beraksi dengan pendekatan yang diterapkan. Apatah lagi apabila berlaku perubahan pemain yang tidak berada di posisi sebenar.
“Apabila bercakap tentang formasi, memang ia sedikit mengejutkan dan sudah pasti apabila kita kalah orang akan bercakap mengenainya. Saya percaya penggunaan formasi ini (lawan Jordan) adalah bersebab dan Pan-gon pasti ada perkiraannya,” katanya.