KUALA LUMPUR – Pernah berhasrat untuk mengundurkan diri daripada industri lakonan, pelakon Nadiya Nissa mengakui melalui fasa putus harapan dengan naskhah dan watak yang disifatkan masih ditakuk sama.
Bagaimanapun pemilik nama penuh Nadiyatul Nisaa Kamaruddin itu terpaksa membuat pusingan U kerana yakin masih tersisa karya hebat yang seiring bakat lakonannya.
“Ada satu saat ketika setiap kali saya pergi set penggambaran, rasa tiada motivasi sebab industri tiada perubahan, sama sahaja. Ibarat satu syarikat yang tidak berkembang padahal kita sebagai pekerja sudah berikan sehabis baik, ibaratnya begitulah.
“Apabila saya melafazkan ingin berhenti, Tuhan seperti dengar dan memujuk hati saya agar terus bertahan, barangkali masih ada sisa-sisa karya yang menarik.
“Saya terpaksa u-turn sebab saya baru sedari industri kita sebenarnya tidak pernah ketandusan naskhah dan sutradara hebat, cuma itulah, terdapat ketirisan di sana sini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, pelakon filem Imaginur itu menyifatkan dunia lakonan sudah sebati dengannya sehingga tidak mudah untuk dirinya meninggalkan perkara yang meresap menjadi spiritual dalam diri.
“Saya selalu merasakan lakonan adalah sesuatu yang spiritual untuk saya, ada satu saat saya berdoa kepada Allah agar berikan saya ilham untuk membuat persembahan lakonan yang terbaik.
“Sebenarnya agak ‘tricky’ juga sebab bidang kita bukanlah tempat mencari keredaan Allah tetapi saya percaya Allah yang berikan bakat dan amanah untuk hiburkan masyarakat dengan garis panduan mengikut syariah islam
“Disebabkan itu saya kembali dalam industri sebab saya rindukan momen itu,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Tonton Original Series SeOfis, semalam.
Sebelum ini, ibu kepada dua cahaya mata itu pernah meluahkan hasrat untuk meninggalkan industri lakonan namun tidak mendedahkan sebarang alasan berbuat demikian.
Bagai ada sinar di hujung terowong, aktres berusia 39 tahun itu kembali selepas disua pelbagai karya serta watak yang kena dengan citarasanya. – KOSMO! ONLINE