PETALING JAYA – ‘Saya sudah tidak malu, orang nak kata apa, katalah. Janji saya gembira.’
Itu luahan seorang lelaki yang mesra disapa Pak Din yang mendedahkan dirinya sudah 17 tahun tinggal di dalam kereta dan hanya memasak di tepi jalan.
Lelaki dari Pendang, Kedah itu tidak malu hidup sedemikian dan tidak kisah dengan kata-kata orang ramai kerana dirinya mensyukuri nikmat yang ada.
Menurut pesara tentera itu, dia bertukar kereta iaitu Proton Wira dan Perodua Myvi untuk meneruskan kehidupan di sekitar Bayan Baru, George Town.
“Saya bekerja tetapi tak suka tinggal di rumah. Kira ini gelandangan mewahlah. Kalau tengok di sini, barang-barang masakan semua saya simpan dalam kereta.
“Saya tidur dalam kereta, tidak ada rumah. Malam hanya buka cermin sedikit untuk pengudaraan dan guna kipas ‘portable’.
“Dah 18 tahun begini. Orang tengok saya dah tak malu, orang nak kata apa katalah. Janji saya happy (gembira).
“Sejak 24 April 2006 hingga sekarang. Ramai yang sudah kenal siapa saya,” katanya menerusi hantaran TikToknya.
Di dalam beberapa video yang dimuat naik, Pak Din menggoreng dan memasak di tepi jalan demi kelangsungan hidupnya.
Difahamkan Pak Din mempunyai isteri di kampung serta lima anak.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang kagum melihat kehidupan Pak Din, namun turut menasihatinya supaya tinggal di tempat yang lebih selesa.
“Kalau kita sudah berusia baik pulih pondok boleh belajar agama. Ayah, nenek saya pilih pondok. Rumah besar mereka tak mahu dah tinggal sorang (diri),” komen Ana.
“Boleh juga kalau tidur masjid tuan. Tukar-tukar masjid. Lebih selesa,” komen Badrul.
“Semoga pakcik ini dilindungi dan dimudahkan urusannya. Janji bahagia dan hidup tak kacau orang,” kata pengguna lain. – KOSMO! ONLINE
@sbjzizah♬ bunyi asal – pakdinjenun – SBJ KEDAHFM