BEKAS ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Brunei telah meletakkan sasaran untuk layak ke peringkat kumpulan saingan Piala AFF tahun depan.
Kata Rajagobal, tempoh singkat tidak menghalang persiapannya untuk merangka strategi terbaik untuk memastikan pasukan tersebut dapat bersaing pada kejohanan bola sepak berprestij Asia Tenggara nanti.
“Tiada banyak perbezaan kerana Brunei dengan Malaysia tidak jauh dari segi budaya, cuaca dan sebagainya. Secara jujur, saya sangat gembira apabila diberi peluang untuk membimbing pasukan Brunei.
“Tiada sebarang KPI (petunjuk prestasi utama) diberikan tetapi fokus utama adalah membantu Brunei untuk layak bermain di peringkat kumpulan Piala AFF tahun depan.
“Brunei kena melalui peringkat playoff sebelum layak ke peringkat kumpulan dan itu harapan besar Persatuan Bola Sepak Brunei walaupun masa persiapan agak singkat,” katanya.
Sebagai rekod, saingan Piala AFF dijangka dilangsungkan pada April hingga Mei tahun depan selepas ditangguh susulan penularan pandemik Covid-19.
Menerusi laporan portal Brunei, Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei (NFABD), Pengiran Haji Matusin Pengiran Haji Matassan mengharapkan kehadiran Rajagobal dapat menyuntik Brunei ke peringkat lebih tinggi.
“Selepas beberapa minggu membuat penilaian, Jawatankuasa Eksekutif NFABD ingin memaklumkan keputusan melantik Rajagobal bagi tempoh dua tahun.
“Ini bukan satu keputusan mudah. Keputusan dibuat berdasarkan beberapa siri dialog selepas mempertimbangkan aspek teknikal dan kewangan,” katanya.