fbpx

Sanggup gadai emas, naik bot ikan mahu kerja di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG warga asing cuba meloloskan diri dengan menyorok di bawah lantai rumah kongsi dalam Op Sapu di Klebang, awal pagi tadi. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Tindakan licik seorang wanita warga Indonesia yang menyeludup masuk ke negara ini dengan menaiki bot ikan dan menetap secara haram sejak empat tahun lalu akhirnya dihidu pihak berkuasa dalam Op Sapu di sini, malam tadi.

Wanita berusia 38 tahun dari Sumatera Utara itu antara 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dicekup pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dalam operasi di dua lokasi berasingan, awal pagi tadi.

Menurut wanita berkenaan, dia berjaya menyeludup masuk melalui ejen yang mengambil upah sebanyak RM1,500 bagi menguruskan perjalanannya menaiki bot nelayan sekitar pertengahan 2019.

“Saya sanggup gadai semua barang kemas dan harta lain untuk bayar ejen sebanyak 5 juta rupiah (RM1,500) dan menyeludup menaiki bot ikan sehingga ke Banting, Selangor.

“Selepas itu saya kerja sebagai tukang masak di beberapa tapak pembinaan dengan upah RM60 sehari, tapi tak sangka malam ini saya kena tangkap,” katanya ketika ditemui di sebuah tapak pembinaan di sekitar Klebang, di sini.

SERAMAI 202 warga asing diperiksa dalam serbuan Op Sapu di Melaka, awal pagi tadi. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

Dalam operasi yang bermula pukul 12 tengah malam sehingga 3 pagi itu, seorang PATI lelaki berusia 30-an turut cuba meloloskan diri dengan menyorok di bawah lantai rumah kongsi, namun gagal selepas dikepung dan berjaya dicekup penguat kuasa.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, serbuan di kawasan Klebang dan Krubong itu merupakan tindakan daripada maklumat orang awam serta risikan yang dibuat selama dua minggu.

“Kita telah memeriksa seramai 202 warga asing dan 75 daripadanya berusia 20 hingga 50 tahun ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk tiada dokumen perjalanan, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas.

ANIRWAN.

“Dalam serbuan ini, beberapa penguat kuasa kita turut dirempuh oleh PATI yang cuba melarikan diri, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Ujarnya, sebanyak 11 saman saksi turut dikeluarkan kepada pihak terlibat untuk membantu siasatan, manakala kesemua PATI dibawa ke Depoh Imigresen Machap Umboo untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI