PETALING JAYA – Isu kekurangan pekerja dalam sektor ladang perlu ditangani kerana ketidakupayaan negara mengendalikan permasalahan itu akan menjejaskan ekonomi Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sektor perladangan yang memberikan nilai eksport kira-kira RM200 bilion merupakan sektor yang sangat penting kepada negara.
“Sektor perladangan merupakan sektor yang sangat penting kepada negara. Ia memerlukan perhatian yang agak berbeza berbanding sektor-sektor lain kerana sektor perladangan memerlukan pengkhususan bagi menanganinya.
“Jika masalah ini tidak ditangani disebabkan ketidakupayaan negara mengendalikan permasalahan sektor perladangan ini, ia akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Johari berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bagi membincangkan isu pengurusan pekerja asing bagi sektor perladangan dan komoditi.
Menurutnya, dalam perbincangan itu, beliau memberi banyak input kepada Menteri Dalam Negeri berhubung langkah-langkah yang boleh menyelesaikan isu kekurangan pekerja dalam sektor ladang.
“Saya akan terus membuat kerjasama yang erat melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE