fbpx

20 pegawai imigresen positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan seramai 20 pegawainya didapati positif Covid-19 setakat 25 November lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 3,500 pegawai imigresen telah menjalani ujian saringan Covid-19 setakat 25 November lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai hampir 3,000 pegawai telah dikuarantin.

“Sebagai petugas barisan hadapan, pegawai imigresen turut berisiko tinggi terdedah kepada wabak Covid-19 kerana mereka berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang belum dipastikan tahap jangkitan.

“Kami bukan sahaja betindak sebagai benteng pertama pintu masuk negara tetapi turut terbabit secara langsung dalam tugasan-tugasan berkaitan kawalan dan pencegahan pandemik Covid-19.

“Pegawai kami turut melaksanakan pemantauan di kawasan tumpuan warga asing, menjadi tunjang utama di pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), operasi penguatkuasaan di kawasan PKPD dan lain-lain lagi,” katanya dalam kenyataan akhbar sempena sambutan Hari Imigresen hari ini.

Pada majlis sama, Khairul Dzaimee turut melancarkan Pelan Anti-Rasuah JIM 2020-2024 yang mana pelan ini adalah dasar anti-rasuah yang mencerminkan komitmen jabatan ini bebas daripada sebarang gejala rasuah.

“Pelan ini digubal untuk memberikan fokus kepada dasar integriti dan tadbir urus yang lebih jelas serta pembudayaan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penguatkuasa undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, JIM akan terus memainkan peranan utama sebagai benteng keselamatan negara terutama di pintu-pintu sempadan negara dan dalam usaha membanteras PATI.

Katanya, sebanyak 6,379 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 30 November lalu yang mana seramai 93,475 orang diperiksa dan seramai 34,920 orang PATItelah ditangkap.

Menurutnya lagi, seramai 376 majikan turut ditangkap sepanjang tempoh sama.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI