MARANG – Sebuah gerai yang menjual semua menu sarapan dengan harga RM1 menjadi tumpuan ramai di Kampung Tasek Padang Kabar, Bukit Payong di sini pada setiap pagi.
Inisiatif Nurul Hidayu Zulkifli, 34, yang membuka gerai berkenaan sejak 14 Oktober lalu menarik ramai pelanggan termasuk dari bandar raya Kuala Terengganu.
Beliau berkata, semua 55 jenis makanan sarapan pagi seperti nasi goreng, bihun goreng, nasi lemak, pulut kuning, mi goreng dan kuih-kuih yang dijual di gerainya berharga RM1.
“Saya bermula dengan enam jenis makanan pada 14 Oktober lalu sehingga kini telah meningkat kepada 55 jenis selepas menerima sambutan baik daripada pelanggan.
“Gerai ini dibuka pukul 7 pagi setiap hari dan biasanya semua makanan sarapan yang dijual akan habis dalam tempoh kurang dua jam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Nurul Hidayu berkata, beliau menjual semua makanan sarapan pagi dengan harga RM1 yang dianggapnya berpatutan dan mampu dibeli orang ramai tanpa mengira status ekonomi mereka.
Tambah beliau, inisiatifnya juga diharap dapat membantu masyarakat yang rata-ratanya terkesan dengan penularan Covid-19 untuk mendapatkan sarapan bagi ahli keluarga masing-masing.
“Alhamdulillah, saya masih mendapat keuntungan. Selalu juga saya memberi kuih secara percuma kepada pelanggan sebagai sedekah,” ujarnya.
Salah seorang pelanggan, Nuriah Hussain, 55, berkata, dia sanggup memandu kereta sejauh kira-kira 13 kilometer dari rumahnya di Kampung Hiliran, Kuala Terengganu untuk membeli sarapan di gerai Nurul Hidayu.
“Hampir setiap pagi, saya akan keluar rumah pada pukul 6.30 pagi untuk menjadi antara pelanggan terawal.
“Jika terlewat, biasanya banyak menu sarapan di gerai ini akan kehabisan. Harga jualannya berpatutan, dengan RM5 kita boleh membeli untuk seisi keluarga,” jelasnya.