BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand dirakam selamba membuang air besar di hadapan sebuah bilik pameran kereta, lapor laman berita Thaiger semalam.
Video insiden itu dikongsikan oleh seorang jurujual, Moss, di laman Facebook.
Kejadian berlaku di daerah Pak Kret, wilayah Nonthaburi pada 11 Januari lalu sekitar pukul 3 hingga 4 petang (waktu tempatan).
Setelah diperiksa, lelaki itu didapati tidak berinteraksi dengan jurujual dan tiada sesiapa yang mengenalinya. Dia hanya memberhentikan kenderaannya di lokasi kejadian dan membuang air besar di belakang kereta.
Ketika kejadian, pekerja di bilik pameran sedang sibuk menguruskan pelanggan dan tidak menyedari situasi yang berlaku di luar bangunan.
Sebaik sahaja selesai, pelaku memandu keretanya dan beredar dari lokasi kejadian. – AGENSI