KELEMBUTAN daging kambing yang diperap dengan campuran rempah-ratus menerbitkan rasa mendalam dan kompleks.
Keenakannya lebih terasa apabila dimakan dengan nasi basmati berempah yang ditanak bersama lobak merah karamel serta kismis.
Hidangan dikenali sebagai kabuli palaw itu sering kali dihiasi bersama badam atau pistachio bagi menambah tekstur rangup pada sajian berkenaan.
Selain daging kambing, makanan nasional masyarakat Afghanistan itu hadir dengan pilihan daging ayam.
Kini, sajian tersebut boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia di Restoran Kabul Darbar di Ampang, Selangor.
Menurut pemiliknya, Rohullah Fasihi, 32, tempat makan yang dibuka pada 2021 itu merupakan restoran Afghanistan pertama di Malaysia.
“Juadah Afghanistan memiliki kombinasi elemen rantau Laluan Sutera (seperti China) dan negara Asia Barat, sekali gus memiliki keunikannya tersendiri.
“Resipi-resipi sememangnya masakan keluarga saya dan bahan mentah organik kami diimport dari Afghanistan sendiri,” katanya yang telah menetap di Malaysia sejak 2016.
Selain kabuli palaw, pelanggan boleh memesan zereshk polo iaitu hidangan nasi basmati bersama rasa manis dan masam barberi.
Sebagai pelengkap, makanan tersebut dihidangkan bersama ayam yang direbus dengan rempah tradisional Persian.
Satu lagi hidangan Persian adalah gheimeh iaitu rebusan daging kambing bersama kulit kayu manis, buah pelada, kacang pis, limau kering dan dihidangkan dengan kentang goreng.
Gulai itu kadangkala dihiasi dengan terung goreng dan biasanya dihidangkan bersama nasi putih.
Tambah Rohullah, pelanggan yang menginginkan suasana seperti di Afghanistan boleh duduk bersila di pangkin yang dilengkapi tilam, bantal dan karpet.
“Secara tradisinya, masyarakat Afghanistan akan makan di atas pangkin sambil bersantai bersama rakan dan keluarga.
“Jadi, kami sediakan ciri-ciri itu di kedai ini agar masyarakat di sini dapat merasai pengalaman tersebut,” katanya.
Turut ditawarkan restoran tersebut adalah aneka kebab yang diperbuat daripada ayam, kambing, lembu dan ikan.
Makanan dengan beberapa jenis pilihan perapan itu boleh dipesan bersama roti nan, nasi kukus safron atau mentega.
Bagi penggemar roti, mereka boleh memilih roti leper goreng yang disumbat dengan kentang tumbuk, daun bawang dan lada hijau (bolani).
Celupkannya ke dalam sos hijau yang diperbuat daripada campuran ketumbar dan cili hijau atau chakka iaitu yogurt serta pudina.
Sementara itu, elemen Laluan Sutera dapat dinikmati menerusi hidangan seperti ladu waitu mantu (berisi daging) dan ashak (berisi sayur).
Kongsi Rohullah, penerimaan masyarakat tempatan terhadap masakan Afghanistan agak memberangsangkan.
“Saya juga terharu dengan kehadiran orang tempatan yang datang menikmati juadah kami, selain pelancong asing dan ekspatriat.
“Saya rasa rakyat Malaysia sangat terbuka dalam mencuba sajian di luar makanan kebiasaan mereka setiap hari,” katanya.
Setiap pelanggan yang hadir di restoran berkenaan akan dihidangkan bersama sup ayam tradisional Afghanistan secara percuma sebagai pembuka selera.
Untuk pencuci mulut, pelanggan boleh memesan dardabari dried fruit iaitu buah kering yang direndam dalam air ros atau air kosong selama beberapa hari.