fbpx

Kilang jual beras hancur, simpan stok didenda RM12,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebuah kilang beras di Kedah didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Yan, kelmarin selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menjual beras hancur kepada pihak tidak berlesen dan menyimpan stok tanpa rekod.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, pendakwaan itu dilakukan selepas Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kedah bertindak membuat pemeriksaan stok beras di premis perniagaan Kilang Beras Seng Wor Sdn. Bhd. di Kota Sarang Semut pada 7 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan telah menjual sebanyak lima guni berisi beras gred hancur berjumlah 250 kilogram (kg) kepada pihak yang tidak memiliki lesen pada 24 September 2023.

“Pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati terdapat perselisihan kuantiti beras hancur dalam milikan berbanding penyata rekod stok yang diberikan oleh pengilang.

“Dalam perkara ini, pihak KPB Kedah telah bertindak merampas 10,593.70 kg beras hancur berkenaan,” katanya di sini hari ini.

KPKM berkata, kilang berkenaan telah melakukan dua kesalahan iaitu di bawah Peraturan 9(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 [PU(A) 624].

“Bagi kesalahan kedua, terdapat perselisihan kuantiti beras dengan maklumat yang diberikan melalui Penyata Deklarasi Stok Beras Dalam Milik/Kawalan di bawah Seksyen 7(1)(a).

“Siasatan mendapati telah berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 8(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta yang sama,” ujarnya.

Justeru itu, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua ke atas kilang berkenaan.

“Manakala, hasil rampasan bernilai RM25,000 dijadikan hasil kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI