KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat rampasan minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM94,600, Selasa lalu.
Menurut pengarah KPDN WPKL Ariffin Samsudin, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM300,000.
Serbuan telah dilakukan oleh 10 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sebuah premis dipercayai stor haram yang beralamat di Chan Sow Lin, Sungai Besi.
“Risikan telah dijalankan oleh PDRM Bukit Aman lebih kurang satu minggu dan mendapati terdapat beberapa buah lori bonded lima tan berulang kali membeli diesel di stesen minyak sekitar Ampang, Selangor.
“Maklumat risikan mendapati premis tersebut telah beroperasi lebih kurang sebulan yang lalu iaitu sekitar pertengahan bulan Disember 2023,” katanya ketika ditemui di Pejabat KPDN KL, Menara Sunway Putra di sini, hari ini.
Ariffin berkata, hasil maklumat yang diperoleh mendapati pembelian yang dilakukan oleh lori bonded tersebut melibatkan 20 buah stesen minyak.
“Sitaan semula telah dilakukan oleh KPDN WPKL melibatkan empat buah lori jenis bonded lima tan, dua buah skid tank berkapasiti 20,000 liter setiap satu, empat puluh unit IBC tank, lima unit pam penyedut berserta hos dan 44,000 liter cecair disyaki diesel,” katanya.
Menurut Ariffin, sebanyak lima orang warganegara tempatan telah ditahan bagi tujuan siasatan, empat orang darinya merupakan pemandu lori dan seorang merupakan pekerja di stor tersebut.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan tapa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.
“Pihak KPDN WPKL juga tidak menolak sebarang kemungkinan aktiviti ini dijalankan secara bersindiket serta mengawal kawasan tertentu.
“Sindiket ini membuat pembelian diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak dalam kawasan tertentu, di mana bagi kes in semua pembelian dilakukan di kawasan Ampang, Selangor sahaja dan tidak melibatkan kawasan lain,” katanya.
Tambah Ariffin, pihak KPDN WPKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan sebarang aktiviti penyelewengan.
“Sekarang ini, terdapat perbezaan harga minyak diesel industri sebanyak hampir RM1 seliter. Ini merupakan faktor utama pihak sindiket mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan untuk kepentingan peribadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE