SEBERANG PERAI – Seorang jurutera didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian dua guru lelaki, tahun lalu.
Tertuduh, Teoh Joo Leong, 47, kelihatan tenang dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan hingga menyebabkan kematian Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi,31 dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub,32.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Permatang Baru, Seberang Perai Utara, pada pukul 2.30 pagi.
Pendakwaan dikendalikan Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh diwakili Benjamin Tan dan Chew Anthony.
Terdahulu, Nurameera menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Benjamin bagaimanapun memohon jaminan minimum dikenakan atas faktor anak guamnya yang berpendapatan RM7,000 sebulan telah bercerai dan perlu menyara tiga anaknya masih bersekolah selain menjaga ibu bapa yang uzur serta memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.
Siti Zulaikha kemudian menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 7 Mac depan. – KOSMO! ONLINE