PETALING JAYA – Meleraikan kekeliruan ramai tentang usianya yang dikatakan sudah mencecah hampir 58 tahun, bekas penyampai radio Hot FM Tyzo akhirnya mendedahkan usia sebenarnya.
Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zulqarnain Idris dalam satu temu bual menerusi panggilan telefon stesen Hot Fm memberitahu, dia seusia Khairy Jamaluddin yang lahir tahun 1976.
Ditanya penyampai radio stesen radio nombor satu tanah air itu iaitu Fara Fauzana tentang usia sebenarnya, Tyzo terdahulunya berseloroh sebelum membongkar usia sebenar.
“KJ, anda lahir pada tahun 1976, betul? Samalah kita,” jelasnya.
Khairy turut meminta tip daripada Tyzo untuk kelihatan awet muda dan jauh lebih muda berbanding usia.
“Saya kena berguru dengan andalah. Macam mana nak muda, macam mana nak menang ABP.
“Serious, you’re looking good bro (anda kelihatan muda),” celah Khairy.
Sementara itu, ketika berada dalam talian, Tyzo turut berseloroh sama ada pihak Hot FM ingin mengambilnya bekerja.
“KJ tak nak ajak saya bekerja dengan KJ ke?,” soal Tyzo.
KJ menjawab seraya tertawa: “Tak nak tak nak sebab awak sebaya dengan saya.”
Sebelum ini, selain kontroversi penamatan khidmat Tyzo sebagai penyampai radio Suria FM, antara yang mencuri tumpuan netizen adalah usia sebenarnya yang dikatakan sudah mencecah 58 tahun.
Semuanya gara-gara kenyataan Tyzo sebelum ini bahawa dirinya sudah berusia 57 tahun dalam satu temu bual sebelum ini.
“Orang kata makin elok makin susah dapat jodoh. Saya juga pernah bercinta, putus cinta, ditinggalkan serta meninggalkan.
“Semua orang pernah mengalami peristiwa itu, umur saya juga dah 57. Alhamdulillah, ‘cekang’ lagi,” ujarnya dalam temu bual terbabit. – KOSMO! ONLINE