LOS ANGELES – Roy Jones Jr. percaya Mike Tyson masih memiliki kemampuan untuk menentang sesiapa sahaja termasuk petinju muda seperti Anthony Joshua atau Tyson Fury dalam saingan heavyweight.
Tyson yang terkenal dengan gelaran Iron Mike itu mampu turun dengan aksi agresif meskipun usia sudah mencecah 54 tahun ketika mencatat keputusan seri pada perlawanan menentang Roy Jones di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada Ahad lalu.
Jones Jr. terkejut apabila melihat Tyson mampu melakukan tumbukan padu terhadapnya selepas perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri.
“Saya akui sangat letih ketika berdepan Tyson. Pukulan bertubi-tubi ke atas saya membuatkan badan, tangan dan kepala saya terasa sakit.
“Dia mampu melawan siapa saja. Jika dia berjaya ‘menangkap’ anda saya yakin Tyson akan menghabiskan perlawanan itu dengan cukup mudah.
“Lapan pusingan Tyson dilihat masih mampu melakukan tumbukan. Apa yang saya boleh katakan, anda akan berdepan masalah seawal pusingan pertama dan pusingan kedua, ketiga anda pasti tak cukup nafas untuk berdepan Tyson,” kata Jones Jr.
Sebelum ini, Tyson mengakui pertemuan menentang Jones Jr. bukanlah menjadi aksi terakhirnya kerana dia sememangnya bercadang untuk terus bergiat aktif sepanjang tahun depan selain telah mencadangkan kepada penganjur beberapa nama yang sesuai.
Tyson juga bercadang untuk berdepan Evander Holyfield sekiranya diberikan peluang untuk berdepan seteru utamanya ketika tewas dalam pertarungan 1997. – AGENSI