JURULATIH beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto menggesa pemainnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei supaya menampilkan aksi yang lebih melawan menjelang pusingan pertama Terbuka India di New Delhi hari ini.
Pengendali dari Indonesia itu juga mahu melihat aksi konsisten daripada anak-anak buahnya selain tidak mahu Tang Jie-Ee Wei hanya mengharapkan kemenangan mudah setiap kali turun ke gelanggang.
Nova menegaskan, setiap beregu memiliki corak permainan berbeza, justeru tidak ada cara lain selain memberikan segala-galanya jika mahu meraih kemenangan dan melangkah ke pusingan seterusnya.
“Bagi aksi di Terbuka India, saya cuma harap mereka tampil dengan aksi maksimum dan dapat kekal konsisten. Harus lebih melawan dalam permainan, jangan mengharapkan aksi mudah sahaja.
“Semua orang tahu setiap beregu gaya permainannya tidak sama, ada yang mudah dan sukar. Apa yang saya mahu tekankan adalah mereka tidak boleh biasakan diri untuk sentiasa menang mudah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tang Jie-Ee Wei dijangka berdepan aksi sukar bertemu beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari yang pernah menewaskan mereka sebanyak tiga kali sebelum ini.
Dalam pada itu, Nova sering mengingatkan Tang Jie-Ee Wei supaya tidak terlalu selesa meskipun mereka berada pada kedudukan selamat untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya selalu beri peringatan kepada mereka supaya tidak terlalu yakin dan selesa walaupun berada di posisi selamat untuk ke Olimpik kerana masih banyak kejohanan perlu diharungi selepas ini.
“Apa sahaja boleh berlaku sepanjang tempoh kelayakan ini. Sekiranya layak, saya tidak mahu mereka sekadar pergi sebagai peserta, harus cuba pulang dengan kilauan pingat,” ujarnya.