fbpx

Enam judul e-Sukan di Hanoi, Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA memiliki ramai atlet e-Sukan yang bermain FIFA Online 4 untuk bersaing pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam kelak.

PASUKAN e-Sukan negara boleh melakukan persiapan terbaik untuk menyertai Sukan SEA 2021 di Hanoi selepas tuan rumah Vietnam telah menyenaraikan enam jenis permainan video yang akan dipertandingkan pada temasya berkenaan.

Enam jenis e-Sukan tersebut adalah Mobile Legends Bang Bang (MLBB), Free Fire, Arena of Valor (AOV), FIFA Online 4, Starcraft dan Hearthstone.

Sudah pasti ia memberi ke­gembiraan buat peminat e-Sukan negara selepas melihat MLBB dipertandingkan sekali gus dapat melihat pasukan-pasukan terbaik negara bertanding pada sukan dwitahunan itu.

Lebih menarik, Dr. Yew Weng Kean yang muncul atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2019 di Manila, Filipina dalam acara permainan video HearthStone berpeluang untuk melakukan kejutan sekali lagi di Hanoi.

DR. Yew ceria menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara Hearthstone pada Sukan SEA
di Filipina tahun lalu.

Timbalan Presiden Persekutuan e-Sukan Malaysia (MESF), Afiq Fadhli Narawi berkata, pihaknya menyambut baik judul e-Sukan yang akan dipertandingkan di Hanoi dan mampu memberi ke­lebihan kepada pasukan negara.

“Pada minggu lalu, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam memutuskan sebanyak enam acara akan dipertandingkan dalam e-Sukan di Hanoi nanti. Buat masa ini kami tidak berdepan sebarang masalah.

“Melihat kepada acara yang dipertandingkan itu, Malaysia juga mempunyai ramai pemain-pemain hebat seperti MLBB, FIFA dan kita juga pernah meraih pingat emas dalam acara Hearthstone menerusi Dr. Yew.

“Bagaimanapun, judul itu hanya senarai awal yang dicadangkan Vietnam tetapi mengikut pendapat saya ia sudah cukup baik buat atlet e-Sukan Malaysia khususnya untuk bertanding,” katanya kepada Kosmo! semalam.

AFIQ memaklumkan pihaknya akan memutuskan bila tarikh sesi kelayakan untuk memilih pasukan terbaik negara ke Sukan SEA 2021 di Hanoi,Vietnam.

Dalam pada itu, Afiq turut menjelaskan pihaknya akan memutuskan tarikh sesi kelayakan yang akan dibuat untuk memilih pasukan terbaik negara ke Hanoi 2021 nanti.

“MESF akan melakukan mesyuarat seawal bulan depan untuk membincangkan mengenai pro­ses kelayakan. Buat masa ini, tiada lagi keputusan dibuat dan saya jangka awal Januari tahun depan kita akan ada keputusan.

“Kita akui Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat, namun ia perlu melalui proses kelayakan. Saya juga bercadang untuk menjalankan sesi kelayakan secara online meman­dangkan negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

“MESF akan umumkan dari semasa ke semasa dan saya harap atlet e-Sukan dapat bersabar sebelum satu keputusan dapat diputuskan secepat mungkin,” tambahnya.

SESI pemilihan atlet yang layak akan dilakukan dalam usaha menghantar pasukan e-Sukan terbaik negara ke Hanoi 2021 nanti.

Sebagai rekod, Malaysia berjaya meraih satu pingat emas melalui Dr. Yew dalam permai­nan Hearthstone dan satu gangsa menerusi permainan Mobile ­Legends sewaktu penganjuran pertama acara e-Sukan pada Sukan SEA 2019.

Gandingan skuad Mobile Le­gends negara ketika itu diwakili enam pemain e-Sukan termasuk Mohd. Faris Zakaria yang dikenali sebagai Soloz, Ahmad Ali Huzaifi Abdullah, Abdul Wandi Abdul Kadir, Jamil Nurolla, Izme Haqeem Hamsjid dan Muhammad Hazeem Onn.

Justeru, pertaruhan terbaik Malaysia meraih pingat pada Sukan SEA 2021 sudah tentu menerusi kategori Hearthstone, Mobile Legends dan mungkin juga FIFA Online 4.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI