PELANCARAN sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mendapat banyak perhatian oleh berita tempatan baru-baru ini.
Rakyat digalakkan untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi masing-masing dalam sistem PADU.
Bagaimanapun, sistem PADU tidak mempunyai sebarang maklumat peribadi, sebaliknya maklumat peribadi yang dikehendaki dimasukkan satu per satu ke dalam sistem PADU.
Ini bermaksud, tanggungjawab rakyat bukanlah setakat menyemak dan mengemas kini maklumat peribadi masing-masing, tetapi melibatkan kerja memasukkan data ke dalam sistem.
Ini bukanlah perkara baharu yang dihadapi dengan sistem kerajaan, termasuklah PADU. Rakyat ‘dibebani’ dengan kerja memasukkan maklumat peribadi seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan (yang boleh diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara) serta maklumat kewangan seperti komitmen, pendapatan dan faedah daripada simpanan dan dividen (yang kesemuanya boleh diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri).
Apapun, mungkin adalah lebih baik dan selamat untuk mendapatkan maklumat sensitif sebegini daripada rakyat sendiri.
Bagaimanapun, maklumat adalah jalan dua hala.
Jadi, rasanya kami sebagai rakyat juga berhak untuk ketahui tujuan PADU dan bagaimana sistem ini akan digunakan untuk manfaat rakyat bukan?
Laman sesawang PADU (https://padu.gov.my/) menyatakan bahawa objektif PADU adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
Matlamat PADU pula adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, melaksanakan pengukuhan dalam penggunaan sumber yang terhad, melaksanakan pemerkasaan sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat dan mengimbangi pembangunan.
Bagaimanakah kesemua ini akan dilakukan? Sebagai contoh, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ada menyatakan subsidi RON95 akan digantikan dengan program subsisidi bersasar pada suatu masa di pertengahan kedua tahun 2024.
Maka, timbul persoalan adakah ini bermaksud harga petrol akan meningkat di pertengahan kedua tahun 2024 dengan subsidi didebitkan ke dalam akaun rakyat yang layak menerima subsidi?
Bagaimana pula dengan seseorang yang tidak memasukkan maklumat yang benar ke dalam sistem PADU dengan tujuan untuk menikmati subsidi dan manfaat kerajaan?
Adakah apa-apa penalti yang akan dikenakan kepada individu sedemikian? Siapakah pula yang akan menyemak dan mengesahkan butir-butir ini? Apakah manfaat lain yang boleh didapati daripada sistem PADU ini?
Keadaan ini juga menimbulkan persoalan adakah ini bermaksud kerajaan tidak lagi akan menjalankan tinjauan banci secara tradisional untuk mendapatkan maklumat statistikal?
Bagaimana pula jika komitmen kewangan dan pendapatan seseorang berubah? Adakah maklumat perubahan ini perlu dikemas kini di dalam sistem PADU setiap kali terdapat perubahan dalam maklumat peribadi? Apakah akibatnya jika ini tidak dilakukan?
Kemudiannya, terdapat juga isu kebimbangan mengenai keselamatan dan privasi data memandangkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak terpakai kepada kerajaan.
Bagaimanapun, Rafizi meyakinkan bahawa PADU dibangunkan dan akan dikendalikan oleh penjawat awam yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.
Timbul pula persoalan adakah ini bermaksud keseluruhan pangkalan data PADU adalah rahsia rasmi dan hanya boleh diakses oleh penjawat awam?
Malaysia mempunyai lebih kurang 1.62 juta penjawat awam yang bermaksud dalam populasi yang mencecah 33 juta terdapat seorang penjawat awam untuk setiap 21 orang.
Berapakah selamatnya maklumat paling peribadi kami? Jika hanya segelintir penjawat awam yang dibenarkan mengakses pangkalan data PADU, siapakah mereka?
Ini adalah satu kebimbangan yang tulen kerana pada masa yang sama, berita tempatan yang hangat baru-baru ini adalah mengenai nasib malang ramai rakyat Malaysia yang terjerumus dalam pelbagai penipuan (scam).
Dilaporkan bahawa penipuan ini turut melibatkan orang yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pegawai polis, pegawai mahkamah, pegawai kastam, pegawai bank dan juga pegawai pos.
Golongan penipu ini memiliki data peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan juga nombor akaun bank yang menimbulkan persoalan, dari mana maklumat ini diperolehi?
Walau apapun, ia hampir mustahil untuk membuktikan secara konklusif di mahkamah siapa sebenarnya yang membongkarkan atau menjual data peribadi yang akhirnya dimiliki oleh penipu-penipu yang tidak bertanggungjawab.
Secara ringkasnya, saya nyatakan semula kesangsian saya mengenai PADU adalah pertama sekali, kerajaan sudah pun memiliki kesemua maklumat yang diperlukan daripada rakyat melalui, antara lainnya, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga baru-baru ini melalui MySejahtera.
Kedua, apakah manfaat terperinci PADU? Bagaimana kerajaan boleh memastikan pengagihan subsidi dan manfaat yang adil serta saksama kepada mereka yang benar-benar memerlukannya memandangkan maklumat boleh dipalsukan?
Apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan terhadap mereka yang membekalkan maklumat palsu bagi tujuan menikmati subsidi dan manfaat kerajaan?
Ketiga, apakah langkah-langkah keselamatan dan perlindungan yang telah diambil untuk memastikan data peribadi sensitif yang disimpan di dalam sistem PADU adalah sentiasa selamat?
Jika terdapat pemecahan data, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menangani dan memperbaiki keadaan ini dan apakah akibatnya untuk orang-orang yang bertanggungjawab untuk pemecahan ini?
Memang tidak boleh dinafikan bahawa niat di sebalik PADU adalah baik bertujuan untuk menambah baik kebajikan rakyat di samping membangunkan ekonomi melalui pelaksanaan dasar secara bersasar.
Bagaimanapun, rakyat juga berhak untuk mengetahui butir-butir terperinci mengenai keberkesanan PADU, sebelum rakyat diminta untuk memberikan maklumat peribadi yang bersifat sensitif.
Jika tidak, PADU mungkin akhirnya dilihat sebagai satu percubaan untuk menjalankan aktiviti pengawasan dan juga satu bentuk pencabulan hak privasi yang boleh merosakkan niat murni di sebalik pembangunan PADU.