fbpx

Kampung Manis di Perai bakal berubah wajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (tiga dari kanan) dan Kon Yeow (tengah) ketika menyaksikan majlis pemeteraian MoU antara RAC dan LPNPP di Seberang Jaya, hari ini.

SEBERANG PERAI – Kawasan setinggan yang terletak di Kampung Manis, Perai di sini dijangka berubah ‘wajah’ menjadi sebuah kawasan baharu yang lebih moden dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pusat komersial tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, impian itu mampu direalisasikan susulan pemeteraian kerjasama atau memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik tanah di situ dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

Menurutnya, potensi Kampung Manis sebenarnya telah diketengahkan dalam Pameran Hartanah RAC 2023 tahun lepas dan hasil daripada pameran tersebut, sebanyak lapan tapak tanah kereta api telah dipersetujui untuk dibangunkan secara Request for Proposal (RPF) dengan dua daripada kawasan itu terletak di negeri ini iaitu di Kampung Manis dan Bukit Tengah.

Beliau berkata, tiga daripada bidang tanah di Kampung Manis iaitu sebahagian daripada Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 yang melibatkan kawasan seluas 14.86 hektar serta sebahagian lagi kawasan yang belum dibangunkan juga sememangnya telah digazetkan untuk tujuan pembangunan industri dan pengangkutan.

“Meskipun mod pengangkutan di Kampung Manis ini tidak dihubungkan terus dengan jajaran kereta api, namun pembangunan kawasan ini boleh menggalakkan permintaan terhadap pengangkutan awam.

“Ini juga mendorong jaringan perantaraan yang lebih baik bagi menghubungkan stesen kereta api terdekat iaitu Stesen Butterworth yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari situ.

“Jadi, dengan adanya akses pengangkutan awam yang baik kelak, ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian sekaligus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Justeru, saya yakin projek ini memberi faedah yang besar kepada penduduk setempat selain mampu meningkatkan tahap sosioekonomi mereka selepas ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir menyaksikan majlis pemeteraian MoU itu yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sebuah hotel di Seberang Jaya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI