fbpx

Piala Asia: Harimau Malaya perlu segera lupakan ‘mimpi ngeri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA bermula langkah kiri apabila tewas memalukan pada aksi pembukaan menentang Jordan awal pagi semalam. - AFP

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyeru para pemain untuk lupakan ‘igauan’ ngeri apabila tewas 0-4 kepada Jordan pada aksi pertama Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha awal pagi semalam.

Menurut Pan-gon, selepas ini adalah masa untuk anak-anak buahnya menjalani fasa pemulihan kerana bakal mengharungi dua lagi perlawanan getir dengan tumpuan terarah bertemu Bahrain pada Sabtu ini.

“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keputusan ini. Saya juga mahu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat berikan keputusan positif.

“Sekarang adalah masa untuk pemain pulihkan diri daripada aspek mental, psikologi dan fizikal sebelum mengharungi perlawanan seterusnya nanti.

“Kita juga (barisan kejurulatihan) akan melakukan analisis untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” kata pengendali import itu selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan itu, Malaysia dilihat bermula garang, tetapi gagal mengekang serangan balas pantas yang dilakukan oleh jaguh Asia Barat itu sehingga berjaya meraih tiga jaringan pada 30 minit pertama.

Gol-gol Jordan dilakukan oleh Mahmoud Al Mardi pada minit ke-12 dan ke-32, manakala penyerang sensasi Montpellier, Musa Al Tamiri menyempurnakan penalti pada minit ke-16.

Skuad Harimau Malaya yang menduduki ranking 130 dunia berusaha untuk bangkit pada babak kedua, tetapi sekali lagi tergamam dengan gerakan Jordan yang meraih gol keempat hasil percubaan Al Tamiri dari luar kotak penalti pada minit ke-85.

Mengulas mengenai perlawanan, Pan-gon mengakui pasukan Jordan layak untuk meraih tiga mata penuh berdasarkan kualiti yang mereka tampilkan pada babak pertama.

“Kami bermula dengan garang pada awal saingan tetapi tidak bernasib baik (dibolosi tiga gol). Pada babak kedua jelas kita mendominasi perlawanan, tetapi ia masih belum cukup dan pasukan lawan ternyata lebih unggul,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI