KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 15,809 koperasi berdaftar dengan jumlah keanggotaan seramai 7.31 juta orang, tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, jumlah modal syer atau yuran yang diperoleh adalah sebanyak RM16.98 bilion dengan jumlah aset RM159.61 bilion dengan nilai perolehan berjumlah RM45.50 bilion.
“Setakat ini, jumlah koperasi yang terbesar adalah di Selangor iaitu sebanyak 2,114. Di Lembah Klang pula, sebanyak 3,286 koperasi berdaftar.
“Koperasi merupakan tulang belakang bagi ekonomi negara. Jika dilihat, jumlah aset yang dipegang oleh hampir 15,000 koperasi ini adalah sebanyak 159.61 bililon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di ibu pejabat SKM di sini hari ini.
Ramanan berkata, SKM memperuntukkan sebanyak RM11.75 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk manfaat koperasi-koperasi di Malaysia.
Tambahnya, jumlah tersebut merangkumi Program Pembangunan Perniagaan sebanyak RM6.75 juta.
Ia juga termasuk Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi sebanyak RM2 juta dan Program Penggalakan Koperasi sebagai Social Enterprise (SE) sebanyak RM3 juta.
Tambah Ramanan, SKM menyasarkan sebanyak 650 penubuhan koperasi baharu tahun ini memandangkan sebanyak 1,001 koperasi berjaya ditubuhkan tahun lalu.
“Jika dilihat kejayaan SKM pada tahun lepas, kami berjaya membatalkan sebanyak 440 koperasi. Tahun ini, SKM menyasarkan pembatalan sebanyak 427 koperasi.
“Pembatalan tersebut bukan bermaksud SKM mempunyai niat (untuk membatalkan), tetapi ada segelintir koperasi ini yang sukar untuk dicari dan tidak dapat dikesan.
“Dari segi pemulihan, kami menyasarkan untuk membantu 35 koperasi tahun ini, tetapi yang benar-benar berjaya dibaik pulih adalah sebanyak 92 koperasi,” katanya.
Bagi tahun 2024, SKM menyediakan Kemudahan Tabung Modal Pusingan sebanyak RM100 juta meliputi lapan jenis pembiayaan, antaranya pembiayaan biasa Pembiayaan Khas Tanpa Cagaran (PKTC) dan Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoop Fi-1). – KOSMO! ONLINE