fbpx

Dana RM2 juta disediakan untuk usahawan terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan (kanan) melihat produk keluaran koperasi ketika melawat Ibu Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bukit Damansara hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Peniaga yang terkesan dengan banjir boleh memohon bantuan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) sekiranya premis perniagaan mereka mengalami kerosakan akibat bencana tersebut.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, kerajaan menyediakan dana sebanyak RM2 juta bagi membantu ahli koperasi yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menurut Ramanan, bantuan yang diberikan untuk Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) itu merupakan satu usaha berterusan dan tidak akan terhenti usai bencana banjir selesai.

Tambah beliau, bagi ahli koperasi, sebanyak 47 bantuan menerusi Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) telah diagihkan berjumlah RM810,700 tahun lalu.

“Ada banyak (bantuan) tersedia. Untuk koperasi, ada TBKK yang wujud sejak tahun 2010 lagi.

“Kalau lihat pencapaian lepas pada tahun 2021, kami telah membantu lebih 60 koperasi, 86 koperasi pada tahun 2022 dan 43 koperasi tahun lalu.

“Koperasi bukan sahaja ada dana persekutuan, malah ada dana dalaman untuk digunakan sebagai bantuan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di ibu pejabat SKM di sini hari ini.

Menurut Pengerusi Eksekutif SKM, Rusli Jaafar, sebanyak 36 koperasi direkodkan terjejas dengan banjir sejak Monsun Timur Laut melanda negara pada 11 November lalu.

“Anggaran kami adalah sebanyak 36 koperasi terjejas dengan banjir kali ini iaitu sebanyak 14 di Kelantan, tujuh di Pahang dan lima di Johor.

“Sebanyak RM600,000 jumlah yang dipohon. Namun kita mempunyai peruntukan jadi ia akan digunakan untuk membaik pulih premis yang rosak dan sebagainya.

Tambah beliau, SKM melalui TBKK, menawarkan bantuan sebanyak RM30,000 sekiranya perniagaan yang dijalankan oleh ahli koperasi terjejas dengan banjir.

“Jika kerosakan sebanyak RM100,000 silingnya adalah sebanyak RM30,000. Sekiranya ada ahli koperasi yang premisnya mengalami kerosakan disebabkan banjir, kita akan bantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI