AMPANG JAYA – Reman terhadap dua anggota polis yang dipercayai terlibat dengan kes rogol dan samun penuntut kolej swasta di Ampang, di sini, akan disambung.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan tersebut diambil bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Reman terhadap kedua-dua suspek akan tamat esok (Rabu) dan dijangka akan disambung,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel ditahan kerja selepas disyaki melakukan jenayah samun dan rogol penuntut kolej swasta dalam kejadian di Bukit Ampang View, di sini, 9 Januari lalu.
Pihak polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 18 tahun.
Kedua-dua pelajar kolej swasta tersebut dipercayai mangsa dalam kejadian pukul 10.09 malam itu.
Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di dalam kereta di lokasi kejadian sebelum ditahan oleh dua suspek lelaki yang lengkap beruniform
Ekoran penahanan yang dibuat, kedua-dua mangsa telah dibawa ke lokasi berasingan.
Salah seorang suspek didakwa bertindak merogol mangsa wanita, manakala mangsa lelaki dibawa ke sebuah bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE