SERDANG – Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa masyarakat India tidak setia kepada negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan harus dibantah keras oleh semua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan itu tidak relevan dan Dr. Mahathir yang lama menjadi Perdana Menteri tidak sepatutnya menghina mana-mana kaum minoriti negara ini.
“Dia memang terkenal Melayu itu malas melainkan dia, India dan Cina itu dianggap kurang setia melainkan beberapa kroni dia.
“Kenyataan itu kita bantah keras dan sangat tidak bertanggungjawab. Bagi saya semua rakyat yang setia harus kita hormati tanpa mengira kaum.
“Sebaliknya kita harus mendakap mereka (rakyat tanpa mengira kaum) supaya keseluruhan kekuatan rakyat ini menuju soal pokok,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India.
Anwar seterusnya berkata, kenyataan Mahathir tersebut percubaan untuk mengalih pandangan umum berhubung tumpuan kerajaan membanteras rasuah, mengurus tatakelola, menuju pendigitalan dan peralihan tenaga.
Dalam pada itu, Anwar ketika menjawab soalan pemberita mengenai sumbangan kepada Hamas menjelaskan, hubungan Malaysia dengan Hamas adalah baik.
“Kita beri sumbangan yang penting. Sumbangan kepada rakyat dari segi rumah mereka, hospital, jadi kita salur langsung kepada masyarakat (Palestin),” katanya. – KOSMO! ONLINE