fbpx

Piala Asia: Harimau Malaya beraksi bawah tahap sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPTEN Harimau Malaya, Matthew Davies diasak pemain Jordan pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub. - Foto AFP

PETALING JAYA – Kapten skuad Harimau Malaya, Matthew Davies mengakui aksi pasukan serba tidak menjadi selepas tewas 0-4 pada aksi pertama Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 awal pagi tadi.

Kata Davies, mutu permainan pasukan ternyata berada dibawah tahap sebenar dengan membiarkan pasukan lawan meraih tiga gol mudah pada babak pertama.

“Gol-gol awal yang dijaringkan pasukan lawan meranapkan semangat pasukan. Kita sepatutnya boleh mempamerkan corak permainan yang lebih menarik tetapi sebaliknya berlaku.

“Tidak perlu fikirkan tentang keputusan, mutu permainan kita juga tidak berada pada tahap optimum apabila terlalu agresif untuk mengekang lawan.

“Bukan mudah untuk membuat penilaian ketika di atas padang tetapi saya pasti kita akan melakukan kerja rumah dan perbaiki semula sebelum mengharungi perlawanan akan datang,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Al Janoub itu, Malaysia yang menguasai permainan pada awal saingan gagal mengekang serangan balas pantas yang dilakukan oleh pasukan lawan dikedudukan ranking ke-87 dunia itu.

Jordan meraih gol pertama hasil ledakan cantik bekas penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mahmoud Al Mardi pada minit ke-12.

Pasukan lawan terus mengasak dan berjaya meledak gol kedua menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh penyerang yang berpangkalan di Ligue 1, Mousa Al Tamari berselang lima minit kemudian.

Nasib Malasyia bertambah parah apabila Al Mardi sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan negara apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-32.

Bersambung pada separuh masa kedua, Malaysia cuba mencari gol untuk merapatkan kedudukan dengan aksi antara kedua-dua pasukan agak seimbang.

Namun, kelekaan pada penghujung perlawanan menyaksikan Malaysia dibolosi buat kali terakhir dengan Al Tamari menjaringkan gol kedua daripada luar kotak penalti dengan kedudukan 4-0 kekal sehingga wisel penamat.

Skuad Malaysia dijadualkan bertemu Bahrain manakala Jordan pula akan menentang Korea Selatan pada aksi kedua Kumpulan E, Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI