SERDANG – Kerajaan tidak membincangkan cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung Rang Undang-Undang (RUU) mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga tamat penggal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut bukan keutamaan beliau kerana tumpuan utama Kerajaan Perpaduan adalah menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat semula.
“Kita akan kaji ini, tetapi bagi saya ia bukan keutamaan. Ia malah bukan suatu masalah. Masalahnya adalah persepsi atau percubaan oleh pembangkang (menukar kerajaan) yang bagi saya tiada asas. Mereka (pembangkang) sangat lemah sekarang ini, malah tidak mempunyai sokongan dua pertiga sekali pun.
“Keutamaan saya adalah bagaimana kita mengubah negara ini dalam aspek tatakelola, dalam aspek transformasi fizikal menjadikan Malaysia negara hebat semula. Itu adalah keutamaan saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran AI Untuk Rakyat di Unversiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Zahid baru-baru ini mencadangkan diwujudkan RUU untuk mengekalkan kerajaan sehingga tamat penggal susulan dakwaan wujud usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar melalui ‘Langkah Dubai’.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dipetik berkata, RUU itu penting bagi menghalang usaha menumbangkan kerajaan atau ‘tebuk atap’ yang dipilih melalui pilihan raya, seterusnya menstabilkan negara.
Terdahulu, Anwar menjelaskan kepada pemberita beliau tidak pernah memikirkan mengenai usul tidak percaya oleh pembangkang di Dewan Rakyat kerana ia tidak berasas.
“Saya tidak pernah fikir itu perkara yang serius. Ia hanya uar-uar pembangkang yang agak terdesak dan seperti mana ‘Langkah Dubai’ saya tak komen pun. Kalau ada asas yang kukuh maka kita pasti perhati, tetapi ini tidak ada asas,’ katanya. – KOSMO! ONLINE