KUALA LUMPUR – Malang terus menimpa pasukan hoki kebangsaan apabila ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang dikemas kini pagi tadi menyaksikan posisi skuad Speedy Tigers jatuh dua anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia.
Keadaan itu pastinya menjadi tamparan hebat buat skuad kendalian Arul Selvaraj terutamanya apabila mereka pernah berada dalam kelompok 10 terbaik dunia di tangga kesembilan tahun lalu.
Bagaimanapun, kedudukan itu semakin berubah dan menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga ke-12 selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada temasya Sukan Asia 2023 yang berlangsung di Hangzhou, China.
Kegagalan melangkah ke pusingan kalah mati pada temasya sukan terbesar rantau Asia itu bukan sahaja menyaksikan ranking Malaysia menjunam, malah memberi kesukaran untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Terbaharu, ranking Speedy Tigers jatuh lagi ke tangga ke-14 selepas tewas 2-3 kepada China pada aksi kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Muscat, Oman malam tadi, sekali gus hampir menutup peluang Malaysia melangkah ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Paling menyedihkan, China yang sebelum ini pernah dianggap sebagai pasukan belasahan Malaysia mula menunjukkan peningkatan sementara skuad kebangsaan terus mempamerkan aksi kurang meyakinkan.
Arul berkata, kekalahan dialami pasukan negara ketika berdepan China langsung tidak diduga memandangkan Malaysia menguasai sebahagian besar permainan selain melakukan banyak serangan ke arah pintu gol lawan.
“Keputusan yang tidak diingini dan langsung tidak diduga walaupun kita menguasai perlawanan. Kita melakukan lebih banyak serangan ke arah gawang China, namun kesilapan yang ketara menghukum kita,” katanya.
Untuk rekod, sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Malaysia empat tahun lalu, Arul pernah membimbing skuad hoki negara memenangi Piala Sultan Azlan Shah 2022, naib juara Piala Asia 2022 serta naib juara Trofi Juara-Juara Asia tahun lalu.