PETALING JAYA – Kehadiran pasangan Raja Bhutan, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisuri Jetsun Pema ke Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei mencuri tumpuan pengguna media sosial.
Ini kerana mereka menyifatkan pasangan itu secocok dan pengguna turut memuji kecantikan Jetsun Pema yang juga antara permaisuri termuda di dunia.
Kehadiran pasangan tersebut ke Istana Nur Iman adalah bagi menghadiri Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan isterinya, Dayang Anisha Rosnah.
Pasangan itu juga antara 5,000 tetamu yang terdiri daripada kerabat diraja dan pemimpin dunia.
Terdahulu, Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien Khamis lalu.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial rata-rata pengguna memuji pasangan Diraja Bhutan itu yang dianggap mereka pasangan dua sejoli.
“Saya sangat teruja melihat kehadiran pasangan Diraja Bhutan di Brunei dan saya sangat suka mereka hadir ke negara ini,” tulis @Nadia K.
“Permaisuri Bhutan sangat cantik dan sopan. Pasangan dua sejoli dan secocok,” kata @kak.siti.
“Semoga sentiasa diberkati Yang Maha Mulia Raja dan Permaisuri Bhutan. Kami bertuah kerana dilahirkan di bawah kepimpinan dinamik anda,” ujar @Tempa Phuntsho.
Jetsun Pema lahir di Thimphu, Bhutan pada 4 Oktober 1990 dan merupakan anak kepada Dhondup Gyaltshen dan Aum Sonam Choki.
Baginda dimashyurkan sebagai Ratu Bhutan pada 13 Oktober 2011 ketika berusia 21 tahun selepas berkahwin dengan Raja Bhutan, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck.
Pasangan diraja itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Jigme Namgyel Wangchuck dan Putera Jigme Ugyen. – KOSMO! ONLINE
@dr_gyelpo Prince Abdul Mateen of Brunei’s wedding#brunei #bhutan #bhutanesemuser #bhutanesetiktoker #royalwedding #kingofbhutan ♬ original sound – dr_gyelpo