fbpx

Hasil siasatan kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas diketahui minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN forensik melakukan siasatan di lokasi kebakaran di rumah Ahli Parlimen Beruas, di Ayer Tawar baru-baru ini.

IPOH – Hasil siasatan kes kebakaran di garaj kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar Rabu lalu, dijangka diperolehi minggu ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, keputusan itu akan diketahui selepas siasatan selesai dijalankan ke atas dua bahan bukti yang ditemui di lokasi kebakaran iaitu bahan letupan dipercayai ‘molotov cocktail’.

Katanya, hasil siasatan tersebut akan menentukan sama ada bahan letupan berkenaan mengandungi bahan bakar seperti minyak tanah dan petrol atau cecair lain.

“Setakat ini, kita masih menunggu keputusan makmal di Kuala Lumpur bagi menentukan isi kandungan dalam bahan bukti yang kita temui di lokasi kejadian.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), keputusan itu akan diketahui dalam tempoh 10 hari. Saya jangka kita akan dapat keputusannya pada minggu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Pengarah JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan yang dijalankan bomba itu adalah bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada disebabkan oleh kebakaran atau perbuatan khianat.

“Sekiranya keputusan yang diperoleh daripada makmal menyatakan ada unsur khianat, kita akan maklumkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, Sayani dilaporkan berkata, pihaknya telah melaksanakan proses forensik kebakaran di lokasi kejadian, dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan mengambil 11 sampel untuk tujuan analisis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI