fbpx

Bekas setiausaha politik Mat Sabu bebas 7 tuduhan minta, terima rasuah RM6.48 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azhar dibawa keluar dari galeri Mahkamah Sesyen Shah Alam empat tahun lalu selepas didakwa atas dua pertuduhan rasuah bernilai RM130,000. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tujuh pertuduhan meminta dan menerima rasuah melebihi RM6.48 juta.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian terhadap Mohd. Azhar Che Mat Dali, 53, pada prosiding di peringkat kes pendakwaan, Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan kepada pihak media hari ini oleh peguam Haijan Omar yang mewakili tertuduh. Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mewakili pihak pendakwaan.

“Saya sahkan mahkamah melepas dan membebaskan anak guam saya daripada tujuh pertuduhan itu. Itu sahaja saya boleh sahkan,” katanya ketika ditanya alasan pembebasan tersebut.

Pada 15 Oktober 2020, bekas setiausaha politik itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini
atas satu pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd., Elias Jemadi Tajudin.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, di sini pada 22 Julai 2019.

Mohd Azhar juga didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd., Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan di sini, antara September 2019 dan Februari 2020.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2020, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima suapan RM130,000 daripada Elias Jemadi dan Zainudin bagi tujuan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 2019.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tujuh pertuduhan itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI