ABIDJAN – Bintang sensasi Mesir, Mohamed Salah menyelamatkan maruah pasukan itu daripada dimalukan pada aksi pertama kempen Piala Negara-Negara Africa (AFCON) ketika terikat 2-2 menentang Mozambique awal pagi semalam.
Pada aksi Kumpulan B berkenaan, Mesir dihadiahkan sepakan penalti pada hujung perlawanan sekali gus membolehkan Salah menyempurnakannya untuk membantu pasukan itu meraih sekurang-kurangnya satu mata.
Sepakan penalti itu diberikan selepas Mostafa Mohamed dikasari dalam kotak penalti oleh dan Salah tidak berdepan masalah untuk mendapatkan gol penyamaan sekali gus menafikan hasrat Mozambique meraih kemenangan pertama dalam sejarah saingan AFCON.
Mohamed meledak gol pembukaan sebelum Mozambique berjaya menjaringkan dua gol menerusi Witiness Quembo dan Clesio Bauque untuk menghidupkan impian meraih kemenangan pertama dalam saingan AFCON selepas empat edisi disertai sebelum ini.
“Saya mahu pasukan ini menang dalam setiap perlawanan dan apabila kami gagal, ia agak menyedihkan, tetapi aksi kali ini tidak mudah.
“Kami bukanlah pasukan yang baik sebelum keputusan seri itu diperoleh dan selepas perlawanan ini berakhir, kami juga bukanlah sebuah pasukan yang teruk,” kata pengendali Mesir, Rui Vitoria.
Mesir dijadual turun menentang Ghana pada aksi berikutnya dan kedua-dua pasukan terdesak untuk meraih kemenangan pertama apabila Black Stars tewas mengejut pada aksi pembukaan menentang Cape Verde. – AGENSI