fbpx

Tiga lelaki dituduh guna dokumen palsu kurangkan duti import Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tuduhan guna dokumen palsu bagi mengurangkan duti import kereta mewah. - Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mengurangkan duti import kereta mewah jenis Ferrari sebanyak RM1.3 juta hingga RM1.6 juta dari 2014 hingga 2022.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohd. Noh Hussain, 47; Mohd Khairol Suberi, 35, dan Fairul Ismazi Ishak, 46, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mohd. Noh yang merupakan bekas eksekutif jualan dan operasi sebuah syarikat jualan kereta mewah di Langkawi, dekat sini berhadapan dengan 12 pertuduhan. Sementara dua lagi tertuduh iaitu Mohd. Khairol dan Fairul Ismazi masing-masing dua dan satu pertuduhan.

Mereka turut mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan bersama pertuduhan asal di mahkamah berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Noh didakwa melakukan pemalsuan dokumen untuk mengurangkan duti kereta mewah jenis Ferrari di Pejabat Kastam Daerah Langkawi pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021.

Tertuduh membuat pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan baki 10 pertuduhan lain atas kesalahan sama yang diambil pertimbangan hakim dalam menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Khairol iaitu bekas pembantu pengurus fasiliti syarikat ejen pendaftaran, penyimpanan dan urusan tafsiran kereta mewah import pula membuat pengakuan sama atas pendakwaan pilihan atas kesalahan dan lokasi sama pada 21 April 2021 dan 27 April 2022.

Fairul Ismazi yang juga merupakan pemilik syarikat yang menyediakan perkhidmatan sama pula didakwa menggunakan dokumen palsu bagi tujuan sama di lokasi sama pada 22 November 2021.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang sama.

Hakim menetapkan esok untuk jatuh hukum bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000 kepada Mohd. Noh serta masing-masing RM10,000 dan RM5,000 kepada Mohd Khairol dan Fairul Ismazi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI