SEBERANG PERAI – Empat buah premis makanan di Astaka Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini musnah dalam satu kebakaran, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi tadi turut mengakibatkan bahagian dapur salah sebuah premis di situ musnah sepenuhnya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 11.59 pagi tadi dan operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dan Bukit Mertajam.
Menurutnya, kebakaran tersebut membabitkan gerai makanan kelas B dengan keluasan 50×10 kaki persegi dengan anggaran adalah sebanyak 70 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dan dua buah motosikal jenis Yamaha Y16 serta Modenas Kriss yang masing-masing diletakkan berhampiran premis berkenaan.
“Kerja-kerja pemadaman telah dilakukan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.15 tengah hari tadi dan telah dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya di sini, sebentar tadi. -KOSMO! ONLINE