KUANTAN – Wang hasil penat lelah seorang peniaga atas talian berjumlah RM70,822 lesap akibat diperdaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud bitcoin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 38 tahun dikatakan telah menyertai skim terbabit melalui aplikasi sosial Whatsapp.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan berkaitan kejadian yang berlaku pada 10 Januari lalu bertempat di Cameron Highland.
“Pada hari kejadian, mangsa dikatakan telah berminat untuk menyertai satu Skim Pelaburan yang dikenali sebagai bitcoin melalui laman sosial Whatsapp. Melalui aplikasi itu, mangsa telah ditawarkan dengan pelaburan online bitcoin.
“Mangsa telah berminat dengan tawaran tersebut dan telah membuat sebanyak 25 transaksi kepada tujuh akaun bank yang berbeza sehingga sedar dirinya ditipu,” katanya.-KOSMO! ONLINE