BEKAS penyampai Suria FM, Tyzo yang diberhentikan stesen radio itu meraih rezeki lain apabila seorang individu menawarkan percutian ke Eropah sebagai sesi menenangkan fikiran atau ‘healing’.
Pemilik akaun TikTok Razi Rafi Explorer yang mengakui peminat nombor satu Tyzo sedia membiayai keseluruhan perbelanjaan ke luar negara bagi membolehkan personaliti radio itu menenangkan fikiran di tempat sejuk.
“Saya tahu abang tengah pening, sedih, penat dan macam-macam dalam fikiran. Sebagai peminat nombor satu saya ingin bawa abang healing, ada hajat bawa abang pergi melancong.
“Saya cadang nak bawa pergi ke Iceland, Norway, Switzerland atau New Zealand sebab di sana musim salji, jadi boleh main salji dan tengok aurora,” katanya dalam perkongsian di platform tersebut.
Dalam hantaran sama pemilik nama Razi Jamit itu menawarkan percutian tersebut disebabkan memahami kesibukan personaliti popular terbabit yang sebelum ini terikat dengan tugasan di konti sehingga tiada masa ke luar negara.
Malah, individu yang difahamkan ejen pelancongan itu juga sudah membuat semua persediaan dan hanya menunggu kata putus daripada Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain.
“Saya bawa abang Tyzo pergi jalan-jalan supaya boleh bertenang dan healing, lupakan sekejap pasal kerja sebab saya tahu abang Tyzo sangat rajin dan komited terhadap kerjaya.
“Tak perlu risau, nak pening-pening fikir lagi sebab semua saya dah siapkan dari A sampai Z, abang Tyzo cuma tinggal kemas baju, (dan) passport kita boleh terus pergi,” ujarnya.
Isu penamatan perkhidmatan Tyzo dengan Suria FM lebih awal pada Jumaat lalu mencetuskan kontroversi apabila dia mendedahkan tidak reda diberhentikan secara tiba-tiba.
Pihak pengurusan stesen pula menyatakan khidmat Tyzo bagi segmen Suria Petang berakhir atas alasan strategi untuk tahun 2024.
Susulan itu, ramai pendengar setia menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang mahu memboikot Suria FM. – KOSMO! ONLINE