PETALING JAYA – Gambar Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah sewaktu masih kecil, duduk di sebelah Dayang Anisha Rosnah Adam yang ketika itu sedang memegang botol susu mencuri perhatian orang ramai sekali gus mereka menyifatkan sebagai ‘jodoh tak ke mana’.
Menerusi hantaran dimuat naik Putera Mateen pada Instagram, beberapa gambar pada Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei turut dikongsikan bersama foto pasangan tersebut sewaktu masih kecil.
Tinjauan mendapati, pengguna media sosial gembira atas perkahwinan pasangan diraja tersebut selain menyifatkan Putera Mateen serta Dayang Anisha ‘telah dijodohkan’ sejak sekian masih kecil.
“Gambar akhir, definisi jodoh itu memang tak ke mana,” kata Reza Horisman yang turut dipersetujui oleh pengguna media sosial yang lain.
“Kisah cinta teman sepermainan,” komen Santi Rahmadani.
“Jodohku satu lingkungan sejak kecil,” ujar Prita Andriyana.
Tidak ketinggalan ‘supermodel’ antarabangsa yang juga pelakon, Naomi Campbell meninggalkan dua emoji hati berwarna merah.
Sementara itu, Putera Mateen pada gambar tersebut menaip kapsyen ringkas ‘alhamdulillah’ selain memuat naik video terbaharu hari ini, mengucapkan terima kasih kepada tetamu-tetamu yang meraikan hari istimewa pengantin diraja tersebut.
“Terima kasih kerana meraikan bersama kami pada hari istimewa kami. Ia sangat bermakna kepada kami,” menurut kapsyen yang ditulis.
Terdahulu, Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja sekitar jam 2.17 petang, Khamis lalu.
Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Brunei di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja.
Sebelum ini media melaporkan, Putera Mateen dan Dayang Anisha dikatakan mula rapat pada 2019 dan hubungan mereka dihidu orang ramai pada tahun lepas apabila mereka sering dilihat bersama.
Difahamkan, Dayang Anisha merupakan cucu kepada penasihat khas Sultan Brunei iaitu Pehin Datuk Isa. – KOSMO! ONLINE