fbpx

Akur perintah mahkamah, Noh serah Musa kepada Mizz Nina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HATI Noh Salleh hancur apabila terpaksa menyerahkan semula Musa kepada bekas isterinya, Mizz Nina namun reda demi kesejahteraan anaknya itu.

PETALING JAYA – Penyanyi Noh Salleh memaklumkan telah menyerahkan anak angkatnya, Musa kepada bekas isteri, Mizz Nina pada malam Sabtu lalu.

Pemilik nama sebenar Mohammad Noh Salleh, 39, itu berkata, walaupun berat hati dia tetap menghormati keputusan mahkamah selepas Mizz Nina datang ke rumahnya bersama perintah interim.

“Malam semalam (kelmarin) dalam pukul lebih kurang 8.30 malam Mizz Nina hadir di rumah saya bersama suami serta pihak polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali bagi tujuan mengambil Musa daripada jagaan saya.

“Dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) mahkamah syariah sebelum sesi mediasi (berlangsung) di mahkamah syariah.

“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, dengan terpaksa dan berat hati saya menyerahkan Musa kembali,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.

Vokalis Hujan itu berkata, dia akan mendapatkan nasihat peguam bagi tindakan susulan.

“Saya akan meminta nasihat peguam saya. Hanya tuhan sahaja yang mengetahui betapa hancurnya hati saya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semua urusan berkenaan berjalan lancar, bahkan dia percaya dengan perdamaian kerana paling utama baginya adalah kesejahteraan Musa.

“Tiada sebarang insiden perebutan berlaku malam tadi (kelmarin) kerana saya masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa,” ujarnya.

Noh turut berharap tiada lagi spekulasi tercetus mengenai isu penjagaan permata hati mereka, selain berterima kasih kepada yang mendoakan.

“Saya berharap kenyataan ini jelas dan tiada sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak. Saya juga berterima kasih atas segala doa kalian,” tulisnya.

Sebelum ini berlaku kekecohan apabila satu laporan polis dibuat Mizz Nina yang mendakwa Noh menculik Musa daripada jagaannya dengan bantuan pembantu rumah.

Begitupun, Noh menangkis tuduhan tersebut dengan menegaskan tiada unsur penculikan seperti didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Menurutnya perbincangan dengan bekas isterinya sebelum ini gagal.

Pada Disember lalu, Noh meluahkan rasa rindu terhadap Musa bersempena ulang tahun keduanya, sekali gus buat kali pertama mendedahkan wajah anak kecil itu.

Noh dan Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun bercerai pada Ogos 2022 tetapi tidak dikurniakan zuriat sebelum sepakat mengambil Musa sebagai anak angkat.

September lalu, Noh bernikah dengan Fatin Athira Mustapa, manakala Mizz Nina pula mendirikan rumah tangga dengan penyanyi rap dan penulis lirik dari Amerika Syarikat Essam Muhammad pada suku kedua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI