SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh di Kilometer 5.0, Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai semalam, ditemui selepas 24 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, hari ini.
Mangsa sebelum itu turut meninggalkan motosikal jenis SYM di tepi jambatan berkenaan sebelum dilaporkan jatuh kira-kira pukul 3.01 pagi semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, mayat mangsa yang masih belum dikenal pasti itu ditemui di perairan laut Pulau Jerejak pada pukul 9.30 pagi tadi.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi.
“Susulan itu, sepasukan anggota melakukan kerja- kerja mencari dan menyelamat serta siasatan lanjut turut dilakukan oleh pihak polis.
“Operasi pencarian turut dihadiri Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin manakala Pusat Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di Pengkalan Unit Marin (JBPM) Mak Mandin,” katanya.- KOSMO! ONLINE.