UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memacu usaha bagi melengkapkan mahasiswi teknikalnya dengan pembangunan imej diri dan pakej personaliti agar lebih berkeyakinan, berkredibiliti tinggi serta berpenampilan menarik.
Sehubungan itu, seramai 100 orang mahasiswi UTeM dan sebilangan kecil orang awam sekitar Melaka telah menyertai program Glam Touch: Make Me Beautiful baru-baru ini.
Program tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Kolej Kediaman Siswa/i (Jaksis) Satria (Lekiu) UTeM yang telah diadakan di salah sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.
Pengetua Kolej Kediaman Siswa/i Satria (Lekiu) UTeM, Nur Maizatull Hafyfa Ahmad Tajudin berkata, ini merupakan platform menarik yang memberi manfaat besar buat mahasiswi UTeM yang menyertainya bagi mengasah kemahiran dan bakat menata rias solekan wajah.
“Ia turut menjadi panduan agar mahasiswi teknikal UTeM terus berketerampilan dan menjadikan mereka memiliki pakej lengkap sebagai profesional teknikal yang turut berpersonaliti menarik.
“Program bersama perunding kecantikan, Ismaliza Ismail ini turut memberikan pendedahan kepada mahasiswi UTeM tentang teknik solekan yang betul untuk kecantikan wajah seseorang individu serta asas penjagaan kulit muka selepas mengenakan solekan.
“Melalui program ini juga, peserta terutama para pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTeM, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, program berfokus seumpama itu menonjolkan kelainan dan berupaya menyuntik motivasi serta meningkatkan keyakinan diri pelajar UTeM.
“Program Glam Touch: Make Me Beautiful ini turut menjadi sebahagian daripada elemen yang melengkapkan mahasiswi UTeM berteraskan kepada TUAH iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik.
“Program yang julung-julung kali dianjurkan ini membawa sentuhan tersendiri dan mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan dalam kalangan pelajar dan orang awam sekitar negeri ini (Melaka),” tuturnya.
Bagi seorang pelajar, Ronaa Salmaa Habiiba, 20, dia teruja dengan program yang dianjurkan dan merupakan kali pertama menyertai program seperti itu.
“Menerusi program ini, saya dapat mengetahui cara untuk mengaplikasikan produk penjagaan kulit dan menata rias wajah dengan betul.
“Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai pada kemudian hari,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan).