fbpx

FSG UiTM bimbing pelajar tahfiz pertanian pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penanaman sayuran berteknologi IoT memudahkan kerja bertani.

INSTITUSI pengajian tinggi dan pusat pengajian Islam bukan sahaja menyediakan ilmu untuk dijadikan kerjaya sebagai sumber rezeki kelak, malah membentuk kemahiran hidup kepada seseorang pelajar.

Bagi mencapai objektif tersebut, Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Maahad Integrasi Tahfiz An Najihin yang berpusat di Surau Ar Raihan Setia Alam, Selangor menjayakan program menanam sayur dengan menggunakan teknologi internet kebendaan (IoT).

Pensyarah Kanan Fizik dan Pengarah Projek FSG UiTM, Dr. Mohd. Fauzi Maulud berkata, projek yang dirancang sejak bulan Jun tahun lalu yang berjaya dilaksanakan baru-baru ini bukan perkara yang mudah kerana ia melibatkan infrastruktur dan bajet tertentu.

“Agrofarm2U merupakan projek di bawah inisiatif Program Knowledge Transfer di mana pelaksanaan projek ‘pemindahan ilmu’ ini adalah berkonsepkan projek pertanian pintar yang menggunakan IoT dan konsep pertanian di hujung jari sebagai kaedah pelaksanaan.

“Projek rintis ini dijalankan pada skala kecil bersama komuniti sasaran iaitu kariah Surau Ar Raihan, Setia Alam dan turut melibatkan penglibatan pelajar daripada Maahad Tahfiz An-Najihin yang mendapat manfaat daripada pemindahan ilmu yang dijalankan,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Agrofarm2U anjuran FSG di Surau Ar-Raihan, Setia Alam baru-baru ini.

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.
Shahrin dalam ucapannya berkata, program Agrofarm2U tersebut merupakan manifestasi kerjasama yang dizahirkan dan melambangkan kebersamaan universiti dalam membantu masyarakat setempat menjalankan pertanian bandar melalui penggunaan IoT yang dapat meningkatkan produktiviti pada hasil pertanian.

“Projek Agrofarm2U ini digerakkan oleh Jawatankuasa Komuniti FSG yang bertungkus lumus menjalankan siri projek ini secara berfasa dimulai dengan beberapa sesi perkongsian berkenaan proses penanaman seperti semaian sehingga pemasangan rumah hijau dan sistem smart farming berjaya dilaksanakan.

“Pengenalan sistem pertanian pintar diharapkan dapat memberi manfaat kepada komuniti dalam menjalankan pertanian yang lebih efektif kerana proses penanaman, pembajaan, pencahayaan dapat dikawal sepenuhnya dengan mudah sekali gus membantu meningkatkan produktiviti hasil tanaman,” jelas Shahrin.

Tambahnya, pelaksanaan projek Agrofarm2U itu juga dapat disimpulkan sebagai sebuah manifestasi kerjasama yang baik antara pihak UiTM dan komuniti dalam mentransformasi konsep pertanian bandar ke tahap yang lebih baik.

Program Agrofarm2U melibatkan FSG UiTM, pelajar tahfiz Maahad Integrasi Tahfiz An Najihin dan kariah Surau Ar Raihan Setia Alam, Selangor diadakan di surau itu baru-baru ini.

Ia jelasnya, diharap dapat menjadi contoh yang baik kepada pelaksanaan program pemindahan ilmu seumpamanya.

Sementara itu, Dekan FSG UiTM, Prof. Dr. Farida Zuraina Mohd. Yusof berkata, pihaknya banyak mengadakan program komuniti bagi memastikan misi mereka berkongsi ilmu dengan masyarakat tercapai.

“Pihak kami banyak mengadakan program komuniti dan program hari ini kita menggunakan teknologi IoT.

“Selain itu, kita ada menganjurkan projek di bawah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah terpilih bersama Una Coffee (syarikat pemula dari UiTM) yang mana kita menghasilkan mi bersama tumbuhan rosel untuk ibu-ibu asnaf menjualnya,” katanya.

Sementara itu, pelajar tahfiz An Maahad Tahfiz An-Najihin, Mohd.Mustaqim Ramli, 17, berkata, program tersebut memberi peluang kepada dirinya mempelajari kemahiran hidup iaitu bertani menggunakan teknologi.

Menurutnya, teknologi menanam dan membaja sayur secara digital di hujung jari memudahkan kerja-kerja yang dianggap remeh selama ini.

“Banyak yang saya pelajari daripada program penanaman sayur berteknologi tinggi. Selama ini sayalihat orang tanam sayur dengan kaedah tradisional.

“Ia menjadi pengalaman berharga kerana dapat mempelajari sistem IoT dengan teknologi seperti coding dan setting infrastruktur,” terangnya.

Sahabatnya, Ahmad Farihin Ahmad Razuan, 17, berkata, program tersebut memberi peluang kepada dirinya untuk meneroka ilmu baharu yang bermanfaat untuk digunakan pada masa depan.

Lanjutnya, sayur-sayuran segar yang ditanam itu bukan sahaja boleh dijual dan dijadikan sumber pendapatan, malah penanaman itu juga menjadi aktiviti riadah bersama rakan-rakan dan masyarakat setempat.

“Projek sebegini sememangnya tinggi kosnya jika dibina infrastrukturnya oleh kontraktor luar.

“Namun, kosnya boleh dijimatkan hingga 50 peratus jika dilakukan sendiri dengan ilmu yang dicurahkan oleh pihak UiTM. Insya-Allah saya akan usahakan sendiri kaedah IoT iaitu membaja tanaman secara sistematik dengan tenaga solar sebagai sumber kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Surau Ar Raihan, Dr.Norzaidi Sahib ketika ditemui, amat menghargai program yang dianjurkan oleh pihak FSG UiTM di surau tersebut.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya pernah menganjurkan program menghasilkan madu kelulut dan hidroponik bagi mengeratkan ukhuwah sesama ahli kariah.

“Namun, selepas program tersebut tiada lagi. Kini kita secara bergotong-royong dengan pelajar dan ahli kariah mewujudkan program menanam secara teknologi IoT dalam Rumah Perlindungan Hujan ini.

“Kesemua sayur ini untuk digunakan oleh pelajar tahfiz, selebihnya akan dijual kepada ahli kariah dan segala hasil diserah kepada koperasi surau,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI