PADANG BESAR – Polis menahan seorang lelaki serta merampas 100 liter cecair dipercayai air ketum bernilai kira-kira RM995 selepas menyerbu sebuah rumah kosong di Kampung Baru Batu 16, Titi Tinggi dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, serbuan pada pukul 3 petang itu menemui dua tong plastik, satu bekas plastik berwarna merah, tiga botol plastik serta 193 bungkusan plastik disyaki berisi air ketum.
Katanya, polis juga menjumpai tiga periuk aluminium dan satu tong gas yang digunakan dalam proses merebus daun ketum.
“Kesemua peralatan itu dipercayai dimiliki suspek berusia 45 tahun itu.
“Suspek mengaku menjual air ketum itu dengan harga sekitar RM5 sebungkus selain menjual secara pukal kepada beberapa suspek lain untuk pasaran sekitar Beseri dan Santan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek aktif melakukan kegiatan tersebut antara 2018 hingga Ogos 2019.
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada Jun, suspek aktif semula dengan kegiatan menjual air ketum,” ujarnya
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE