BEIJING – Sebuah keluarga di China menjadi perhatian pengguna media sosial selepas berpindah ke sebuah hotel mewah secara kekal sebagai cara menjimatkan wang, lapor laman berita Oddity Central.
Lapan beranak itu sudah tinggal di sebuah hotel mewah di Nanyang, wilayah Henan selama 229 hari dan tidak bercadang untuk berpindah dalam masa terdekat.
Selepas menyewa sebuah suite dua bilik tidur dengan ruang tamu yang besar pada harga 1,000 yuan (RM653) sehari, mereka merancang untuk tinggal di hotel buat selamanya.
Disebabkan harga harian suite itu turut merangkumi elektrik, pemanas, air dan tempat letak kereta, keluarga tersebut mendakwa bahawa mereka dapat menjimatkan banyak wang dan menjalani kehidupan lebih selesa.
“Kami berasa gembira tinggal di sini, jadi kami merancang untuk tinggal di hotel sepanjang hidup.
“Bilik kami berharga 1,000 yuan sehari. Keluarga kami seramai lapan orang dapat hidup selesa,” kata salah seorang ahli keluarga tersebut, Mu Xue dalam sebuah klip video.
Keluarga itu dikatakan mempunyai keadaan kewangan yang baik. Mereka memiliki sekurang-kurangnya enam hartanah tetapi lebih suka menetap di hotel. – AGENSI