ALOR SETAR – Cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar satu Rang Undang-undang (RUU) digubal bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU), bukan langkah terdesak.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia kerana sokongan kepada kerajaan ketika ini lebih daripada memadai termasuk lima Ahli Parlimen Bersatu yang memberi kenyataan secara terbuka menyokong Perdana Menteri.
“Maknanya kerajaan berada dalam keadaan yang stabil dan baik, cuma bila tak habis-habis dalam media sosial ada cerita berkaitan tukar kerajaan. Saya ingat ia sesuatu yang tidak begitu harmoni dalam sebuah negara yang begini keadaannya.
“Bukan hanya pelabur dari luar negara, malah pelabur dalaman pun dia akan rasa sangsi untuk melabur jika suasana politik tidak stabil,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan Ahmad Zahid jelas membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi selain sebagai kenyataan terdesak untuk terus kekal berkuasa. – KOSMO! ONLINE