PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan semua kes gigitan anjing di Sarawak dilaporkan stabil dan telah diberikan suntikan vaksin rabies serta rawatan Immunoglobulin Rabies (RIG).
Menerusi kenyataan hari ini, KKM merujuk kepada 12 kes gigitan anjing yang positif
Rabies di kawasan Tabuan Desa Indah dan Lorong Tabuan Timur, Daerah Kuching, Sarawak.
Ujarnya, pada 6 Januari lalu, sebanyak lapan kes gigitan anjing dari kawasan Tabuan Desa Indah, Lorong Keranji, Daerah Kuching sudah mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Salah satu kes dimasukkan ke wad kerana perlu diberikan prosedur perawatan luka (wound debridement) manakala kes lain diberikan rawatan pesakit luar.
“Pada keesokan harinya pula, tiga lagi kes gigitan anjing dari kawasan yang sama mendapat rawatan di HUS. Kesemua 11 kes tersebut tdiberikan vaksin rabies dan rawatan RIG.
“Kesemua 11 kes digigit oleh anjing liar yang sama. Anjing tersebut kemudiannya dapat ditangkap oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 8 Januari,” katanya.
Tambah KKM, keputusan ujian makmal yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang diperolehi pada 11 Januari menunjukkan kesemuanya positif rabies.
Dalam pada itu, bagi kes ke-12 KKM menerima laporan dari Lorong Tabuan Timur, Kuching yang mendapat gigitan seekor anjing peliharaan dan mendapat rawatan di HUS pada 7 Januari lalu.
Katanya, anjing tersebut diserahkan secara sukarela kepada pihak berkuasa tempatan dan keputusan ujian makmal yang dibuat oleh DVS menunjukkan anjing tersebut adalah positif rabies.
“Kes tersebut juga diberikan vaksin anti-rabies serta rawatan RIG dan diberikan rawatan pesakit luar. Pada masa ini semua kes gigitan adalah stabil dan satu kes yang yang dimasukkan ke wad juga telahpun discaj pada Selasa lalu.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama DVS, PBT serta agensi tempatan akan mempergiatkan aktiviti kawalan di kawasan terbabit bersama masyarakat setempat, termasuk kempen vaksinasi anjing bagi mengawal penularan jangkitan rabies.
“KKM ingin memaklumkan jangkitan rabies boleh dicegah jika rawatan awal diberikan dengan segera. Orang ramai dingatkan agar sentiasa mengambil langkah-langkah berikut untuk pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.