fbpx

Konflik Palestin-Israel: Rakyat Yemen bimbang perang kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penunduk Yemen melakukan protes yang menentang tindakan ketenteraan AS dan Britain di Hodeida, 12 Januari lalu. - AFP

SANA’A – Hampir dua tahun selepas konflik perang saudara ditamatkan di Yemen, Manal Faqirah terjaga daripada tidur pada waktu subuh Jumaat lalu, selepas dikejutkan dengan bunyi bom di rumahnya di bandar pantai, Hodeida.

“Apabila saya mendengar bunyi letupan pertama, saya ketakutan dan menyangkakan ia hanyalah mimpi. 

“Namun, apabila bunyi letupan kedua berbunyi, saya tahu ia adalah bunyi serangan. Ia bunyi peperangan,” kata kakitangan awam berusia 36 tahun itu kepada agensi berita AFP.

Manal merupakan penduduk bandar pelabuhan strategik tersebut yang menghadap Laut Merah, yang menyaksikan sebahagian besar serangan dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Ia menyasarkan kumpulan pemberontak Houthi sebagai tindak balas terhadap serangan mereka ke atas kapal-kapal di Laut Merah yang mempunyain kaitan dengan Israel.

Menurut Manal, rakan suaminya yang tinggal di Sana’a berkata, sebahagian bandar itu terbakar akibat serangan tentera AS dan Britain.

“Insya Allah, perang tidak akan berulang lagi. Saya berharap agar kami dapat hidup dengan aman dan dalam keadan baik,” ujarnya.

Wilayah Hodeida memiliki pelabuhan yang menjadi ‘talian hayat’ bagi berjuta-juta penduduk di bahagian Yemen yang dikuasai Houthi. Ia merupakan tapak pelancaran utama roket dan dron yang menyasarkan kapal-kapal di Laut Merah.

Sementara itu, seorang penduduk bernama Assem Mohamed, 33, berkata, dia terjaga pada pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) selepas terdengar bunyi letupan dan tangisan anaknya.

“Apabila letupan berbunyi, anak bongsu saya terjaga dan menangis serta menjerit ‘bunga api’. Pada awalnya, kami menyangkakan ada majlis perkahwinan di rumah jiran,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu menambah, dia sukar mengingati dengan jelas peristiwa pertempuran sengit antara Houthi dan pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi di Hodeida sebelum ini kerana terlalu muda ketika itu.

Pada 2015, Arab Saudi memulakan campur tangan di Yemen bagi pihak kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta melancarkan perang terhadap pemberontak Houthi yang disokong Iran.

Houthi menawan ibu kota Yemen, Sana’a pada tahun sebelumnya, sebelum gencatan senjata berjaya dicapai pada April 2022.

Perang tersebut berlanjutan selama beberapa tahun serta telah membunuh beratus-ratus ribu orang serta mengakibatkan apa yang digelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk.

Namun, bunyi serangan terbaharu yang dilakukan AS dan Britain mengembalikan semula memori perang berdarah bertahun-tahun yang melanda negara paling miskin di Semenanjung Arab itu.

Seorang lagi penduduk, Yousra Sanan berkata, dia tidak terlalu takut kerana sudah terbiasa mendengar bunyi bom ketika membesar di Yemen selama bertahun-tahun.

“Namun, kami mahu hidup dengan selamat dan stabil. Kami tidak mahu peperangan kembali,” katanya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI