fbpx

Piala Asia: Usah lalai jaga benteng pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIMAU MALAYA tidak boleh terlalu ghairah memburu jaringan sehingga terlupa mengenai tugas mempertahankan gawang sendiri daripada dibocori. - FB FAM

REKOD jaringan yang cukup baik dalam enam aksi sebelum ini wajar dijadikan penyuntik semangat, namun pemain tidak boleh ‘mabuk gol’ bagi mengelak kekalahan kepada Jordan pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub awal pagi esok.

Secara keseluruhan, berdasarkan lima perlawanan menentang negara di ranking lebih baik iaitu China, India, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Syria sebelum ini menyaksikan Harimau Malaya mengumpul 11 gol, namun turut bolos 10 kali.

Rekod baik dalam perlawanan terdahulu juga bukan alasan untuk pemain bersikap besar kepala kerana Piala Asia adalah pertandingan berbeza yang membabitkan ramai pemain berkelas dunia.

Bekas pemain skuad Piala Asia 2007, Azizon Abdul Kadir, berkata sikap lupa diri seakan menjadi ‘barah’ kepada pemain terutamanya jika pasukan diwakili mencatatkan keputusan cemerlang.

“Saya boleh beritahu ‘penyakit’ nombor satu bola sepak adalah terlebih yakin dan saya harap pemain Malaysia tidak ada yang besar kepala. Kita baharu saja layak Piala Asia dan akan bermain di peringkat kumpulan.

“Keserasian sudah ada cumanya pemain tidak boleh terlalu gementar. Biarpun kita dapat keputusan baik sebelum ini, saya harap pemain kekal fokus untuk cuba layak ke pusingan seterusnya, sekurang-kurangnya ke suku akhir.

“Bagi saya posisi penjaga gol dan pertahanan akan memainkan peranan besar kepada cabaran kita kali ini,” katanya.

Sejak tewas 0-3 kepada Thailand di Piala AFF, Januari tahun lalu, Harimau Malaya tidak kalah apabila merekodkan lima kemenangan dan dua seri, namun cerita luar biasa itu sedikit tercalar apabila dimalukan 0-2 oleh Tajikistan di final Pestabola Merdeka.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Sulaiman Hussin memberi ingatan kepada pemain negara supaya kekal waspada kerana lawan di Piala Asia adalah pemain berkualiti yang sudah terdedah dengan pertandingan lebih besar.

“Aspek penyudah kita sudah bagus, tetapi jangan lupa kita juga ada kelemahan dan saya percaya pasukan lawan akan buat serangan bertubi-tubi. Posisi penjaga gol dan pertahanan harus diberi penekanan lebih kerana pemain dari Timur Tengah ada pemain berkualiti, jadi disiplin ketika perlawanan adalah perkara terpenting.

“Ini cabaran dan penilaian sebenar buat jurulatih, Kim Pan-gon. Kita hormat perancangan Pan-gon, tetapi jangan kita terlalu ghairah menyerang hingga lupa bertahan atau pun rasa sudah cukup bagus.

“Semua pemain kena buat tugas bertahan termasuklah penyerang yang perlu berperanan sebagai pertahanan pertama. Hilang saja bola, kembali ke kedudukan dan tidak boleh lewat untuk bersiap sedia melakukan tugasan bertahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI