DUNGUN – Seorang peniaga online maut manakala abangnya cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV), Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di Kilometer 67,Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Bukit Besi dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, Mohd. Aisamudin Ibrahim, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kenderaan Perodua Alza yang dipandu abang mangsa, Mohd. Sukri, 45, dikatakan dalam perjalanan ke Bukit Besi dekat sini dari rumah mereka di Kampung Bawah, Atas Tol, Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudiannya merempuh sebuah lori treler membawa muatan barangan industri dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Johor,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, pemandu lori treler berusia 43 tahun mendakwa cuba mengelak dengan membelok ke laluan bertentangan selain membunyikan hon.
Menurutnya, impak kemalangan itu menyebabkan mayat Mohd. Aisamudin tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sebelum dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah dekat sini. – K! ONLINE