SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengetuai senarai 473 individu penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-76, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu dianugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri, manakala seramai lima individu pula dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin; Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md Din; Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Hakim Utama, Mahkamah Tinggi Seremban, Datin Rohani Ismail.
Sementara itu, seramai 22 orang pula menerima anugerah Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.
Mereka antaranya ialah ADUN Sungai Lui, Mohd. Razi Mohd. Ali; ADUN Johol, Saiful Yazan Sulaiman; Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Abd. Khalid Othman dan Panglima Briged Pertama, Brig. Jen. Mohamad Noorlizam Shamsuddin.
Turut menerimanya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff; Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohammad Kassim; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dr. Roslan Hussin dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Sazali Harun. – KOSMO! ONLINE