fbpx

Lelaki tetak tangan anggota tentera, cuba samun di mesin ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang anggota tentera Rejimen Renjer Diraja (RRD) Para cedera di tangan selepas ditetak dua lelaki dalam cubaan samun berhampiran sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Sungai Udang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.45 malam selepas mangsa yang berpangkat koperal selesai membuat pengeluaran wang.

Katanya, anggota itu kemudiannya dihampiri dua lelaki bermotosikal sebelum tiba-tiba diserang individu tidak dikenali itu menggunakan sebilah parang.

“Ketika kejadian mangsa yang berusia 32 tahun baru sahaja mengeluarkan wang di mesin ATM berdekatan dengan Premis AR-Rahnu di Sungai Udang.

“Ketika anggota itu sedang menghidupkan motorsikalnya untuk pulang ke rumah, dua lelaki telah datang menyerangnya dan menetak tangan sebelah kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, mangsa kemudian berjaya melarikan diri menaiki motosikal ke kawasan perumahan berdekatan, namun telah dikejar oleh lelaki berkenaan.

“Susulan itu mangsa bertindak memberhentikan motosikalnya dan berlari mengikut lorong tikus ke Balai Polis Sungai Udang yang kebetulan berdekatan dengan lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian dibantu oleh anggota polis dan dihantar ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan sebelum ditempatkan di zon kuning,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI