Oleh AIMUNI TUAN LAH
MENGHASILKAN sumpit yang menjadi senjata berburu binatang bagi masyarakat Orang Asli bukan semudah yang disangka. Pembuatannya memerlukan kerja tangan berkemahiran tinggi agar sumpit yang dihasilkan berkualiti, cantik dan menarik.
Sumpit kini dikatakan berdepan kepupusan apabila generasi baharu kaum pribumi tersebut kurang berminat untuk menguasai pembuatannya.
Jika dahulu, terdapat tiga Orang Asli yang mahir membuat sumpit di Gua Musang, Kelantan, namun kini hanya tinggal seorang yang masih aktif.
Seorang penduduk suku kaum Temiar, Uda Along, 63, yang tinggal di Kampung Mendrop, Pos Brooke berkata, kini hanya dia seorang yang mahir membuat sumpit selepas belajar daripada bapanya lebih 30 tahun lalu.
Katanya, dua orang lagi masyarakat Orang Asli yang berkemahiran membuat sumpit di situ telah meninggal dunia.
“Saya bimbang, masa depan kemahiran pembuatan itu akan pupus jika saya meninggal dunia.
“Bagi saya, sumpit melambangkan kesenian Orang Asli yang perlu dijaga dan diwarisi sepanjang zaman,” katanya.
Menurutnya, biarpun salah seorang anak lelakinya yang kini berumur 30 tahun menunjukkan minat dalam pembuatan sumpit, tetapi masih banyak yang perlu dipelajarinya untuk memahirkan diri.
Uda yang mempunyai lapan orang anak berkata, permintaan terhadap sumpit semakin meningkat, tetapi golongan muda tidak merebut peluang untuk mempelajari kemahirannya.
Ujarnya, dia menganggap kerja membuat sumpit sebagai punca rezeki untuk menampung kehidupan keluarga.
“Saya bersedia menerima tempahan dalam kuantiti yang banyak kerana kemahiran yang ada boleh memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
Sebagai seorang yang mahir dalam pembuatan sumpit, Uda mampu menyiapkan antara tiga hingga lima batang sumpit setiap hari bergantung kepada saiz.
Harga sebatang sumpit yang pendek adalah RM30, manakala RM50 bagi yang bersaiz panjang.
Sumpit yang dibuat itu kini bukan sahaja digunakan untuk berburu bagi masyarakat Orang Asli, tetapi juga dijual sebagai cenderamata kepada orang luar.
Cerita Uda, penghasilan sumpit yang berkualiti bergantung kepada buluh tua yang panjang serta lurus supaya tidak mengambil masa lama untuk dibentuk.
Ketika proses awal pembuatan sumpit, buluh perlu dijemur di bawah cahaya matahari untuk dikeringkan.
Selepas dijemur untuk tempoh yang agak lama, proses seterusnya adalah meletakkan buluh berhampiran api. Ini bagi membolehkan batangnya lebih berkilat.
Kemudian, buluh itu digosok pula dengan arang atau kertas pasir bagi membolehkan permukaannya menjadi halus.
Apabila semua itu selesai, barulah buluh sumpit diukir dengan pelbagai corak menggunakan kepakaran dan kemahiran pembuatnya.
Anak Uda yang berminat dalam pembuatan sumpit yang hanya mahu dikenali sebagai Angah berkata, jika ada masa terluang, dia akan membantu bapanya mencari buluh sumpit.
Katanya, dia sering melihat bapanya melakukan kerja-kerja membuat sumpit dan menyifatkannya sangat rumit dan memerlukan banyak kesabaran serta ketekunan.
“Saya melihat proses bapa menghasilkan sumpit agak rumit.
“Perasaan bangga timbul dalam hati selepas mengetahui kini bapa adalah satu-satunya penduduk di kampung ini yang mahir membuat sumpit.
“Diharap saya dapat mempelajari secara terperinci daripada bapa dan mewarisi kemahirannya,” katanya.